Al-Quran
tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam
syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat
Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang
menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak
pernah menyatakan demikian.
Menurut al-Quran, kesalahan tersebut
ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17)
menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum
Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut
oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah
di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu
tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam
a-Quran.
Al-Quran
menyebut:
“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam!
Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya
sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri
pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan
orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua
dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah
berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat
kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)” –
(Surah al-Baqarah: 35-36)
Dalam
Surah Taha pula Allah berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud,
kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam!
Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia
menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan
menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu
tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya
kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”.
Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup
selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka
berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat
masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan
dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai
hajatnya). – (Surah Taha: 116-121)
Ayat-ayat
ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi,
bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan
Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat
bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan
cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa
dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke
satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Lebih
buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi
episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis
sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan
ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang
mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”. – (Dr.
Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179.
Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
Maka,
umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan
lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai
pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap
wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang
kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat
Wanita
Namun
masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih
jelas ‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan
halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki‘mengidaminya’
angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’ wanita
begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri
Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah
Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita),
dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat” – (Surah Yusuf: 28)
Perkataan
Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud
perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi
dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaidsebagai scheme
yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala
membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as
scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms
86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).
Maka,
atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan
licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang
tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia
wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada
kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar
untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya
atau godaan atau kaid tersebut.
Nabi
s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat
ke atas lelaki lebih dari wanita” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
abda
baginda juga:
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau
dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang
kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada
(fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari
wanitanya” – (Riwayat Muslim)
Maka,
tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita
idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin
dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang
pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang
memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik
seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai
peringkat.
Maka,
tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae
Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan
peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami
tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri
mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam
perancangan atau kaid mereka.
Perhiasan
Terindah
Namun
wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki.
Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan
nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah
dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki
tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita
pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan
kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan
dunia ialah wanita yang solehah” – (Riwayat Muslim)
Ada
harta tiada wanita dalam kehidupan tiada artinya. Ada rupa, tiada wanita tiada
maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam
mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami,
menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami
apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak
menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” – (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan
al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani)
Sabda
Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang
apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada
bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” – (Riwayat al-Hakim dalam
al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)
Untuk
menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika
tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti
mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga,
tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri
Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.
0 komentar :
Posting Komentar