Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih
berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya
(dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah
apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri
mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu
kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun
yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada
sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
(Ar-R'ad 13:11)
Kaum Saleh
telah dibinasakan Allah dengan suara jeritan Jibril as. Peristiwa ini terjadi
pada hari Rabu. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya
kami menimpakan atas mereka suatu suara yang keras mengguntut; maka jadilah
mereka seperti rumput-rumput kering (yang dikumpulkan oleh) yang mempunyai
kandang binatang." (Al- Qomar: 31)
Dikisahkan
bahawa pada suatu hari Nabi Saleh menyampaikan berita bahawa pada masa itu akan
lahir di tengah-tengah mereka seseorang yang menjadi penyebab kehancuran kaum
itu.
Maka para
pemuka kaum itu mengadakan mesyuarat untuk membahas masalah tersebut. Akhirnya
mereka memutuskan, harus memisahkan diri daripada isteri masing-masing, jika
ada yang hamil dan melahirkan anak lelaki maka harus dibunuh. Keputusan mereka
itu dijalankan.
Salah seorang
dari kaum mereka melahirkan seorang anak lelaki, namun mereka tidak sampai hati
untuk membunuhnya. Disebabkan keluarga tersebut belum pernah mempunyai anak,
anak itu bemarna Qodaron.
Sebanyak
sembilan kaum telah membunuh anak lelaki mereka yang lahir. Namun ketika mereka
melihat Qodaron telah menjadi seorang pemuda, mereka merasa menyesal kerana
telah membunuh anak-anak mereka dahulunya. Kemudian mereka berunding untuk
membunuh Nabi Saleh as.
Mereka
berkata: "Sebaiknya kita pergi keluar kota dahulu, kemudian kita pulang
dengan secara sembunyi, pada saat itu Nabi Saleh kita bunuh. Lalu kita
bersumpah dengan nama Allah dengan kerabatnya bahawa kita tidak membunuhnya dan
kita tidak tahu sama sekali tentang pembunuhan itu."
Ketika itu
umur Qodaron lima belas tahun. Di saat mereka sedang minum arak, mereka juga
memerlukan air, sedangkan pada hari itu merupakan giliran unta untuk
mendapatkan air, mereka sudah puas mencari air di tempat yang lain, namun tidak
mereka temui. Kemudian Qodaron berkata: "Menurut pendapatku, lebih baik
kita bunuh sahaja unta Saleh, sebab kita dalam kesukaran air."
Kemudian
mereka pun keluar dengan membawa sebilah pedang, mereka bersembunyi di
rumput-rumput di bawah kaki gunung. Pada saat giliran unta Saleh ingin minum
air, maka dengan segera Qodaron membunuh unta tersebut. Kemudian mereka juga
berusaha membunuh anak unta Nabi Saleh, maka anak unta itu pun berlari ke arah
gunung, maka dengan kuasa Allah gunung itu terbelah, dan masuklah anak unta itu
ke dalamnya.
Ketika Nabi
Saleh as mengetahui peristiwa pembunuhan terhadap unta mukjizatnya itu, maka ia
berkata kepada kaumnya: "Anda semua boleh duduk di rumah selama tiga hari,
setelah itu akan datang seksaan kepada anda. Tandatandanya adalah, pada hari
pertama muka-muka kamu semua menjadi merah, pada hari kedua menjadi kuning,
pada hari ketiga menjadi hitam legam."
Di saat mereka
melihat tanda-tanda seperti yang diucapkan oleh Nabi Saleh itu betul, mereka
pun berkata: "Mari kita bunuh Nabi Saleh seperti kita membunuh
untanya." Mereka kemudiannya menuju ke tempat tinggal Nabi Saleh.
Peristiwa itu terjadi pada hari Rabu. Kemudian Jibril as datang sambil memegang
tugu-tugu kota itu lalu digoncangnya dengan sekeras-kerasnya. Akhirnya dia
menjerit dengan sekuat-kuatnya sehingga mereka semua mati pada saat itu juga.
Begitu
gambaran betapa bahayanya minuman keras yang memabukkan ini. Kerana sebab terbunuhnya
unta mukjizat Nabi Saleh disebabkan minuman keras. Fitnah Harut dan Maarut juga
kerana minuman keras. Sebab terbunuhnya Nabi Yahya kerana minuman keras. Kaum
Nabi Nuh mengganggu Nabi Nuh kerana minuman keras. Pembunuhan terhadap Usman ra
juga disebabkan minuman keras. Pembunuhan terhadap Sayyidina Husin juga kerana
minuman keras."
0 komentar :
Posting Komentar